Sunday, January 1, 2012

ASAL USUL NAMA BRUNEI



Peta Asia 1540 hasil lakaran ahli kartografi Itali
(sila klik untuk imej yang lebih jelas)


Asal usul dari mana nama Brunei itu wujud masih belum jelas. Ada yang menyarankan ia terbit daripada perkataan Cina “Wan-Lai”. Satu pendapat pula mengatakan perkataan Brunei terbit daripada perkataan Sanskrit 'Varunai' yang membawa maksud sesuatu yang berhubung dengan laut, yang terbit dari perkataan varunadvipa yang melambangkan kawasan Pulau Kalimantan.

Catatan tradisi lisan yang diperolehi dari Syair Awang Semaun yang menyebutkan Brunei berasal dari perkataan baru nah iaitu setelah rombongan yang dipimpin oleh Pateh Berbai pergi ke Sungai Brunei mencari tempat untuk mendirikan negeri baru. Setelah mendapatkan kawasan tersebut yang memiliki kedudukan sangat strategik iaitu diapit oleh bukit, air, mudah untuk dikenali, untuk transportasi serta kaya dengan ikan sebagai sumber makanan, maka mereka pun mengucapkan perkataan baru nah yang bererti tempat itu sangat baik, berkenan dan sesuai di hati mereka untuk mendirikan negeri seperti yang mereka inginkan.

Namun pada satu artikel yang saya dapati iaitu Assessing the epic status of the Brunei Malay Syair Awang Simawn, hasil kajian oleh Allen R Maxwell dari Universiti Alabama terhadap teks asal Syair Awang Semaun semasa berada di Brunei tiada pula catatan yang menyatakan bahawa nama Brunei itu berasal dari baru nah cuma yang di catatkan hanya Pateh Berbai yang menjumpainya sahaja.

Secara fonetiknya terdapat peralihan sebutan daripada perkataan Varunai ini kepada Porne (lihat imej), Poni, Poli. Boni, Burni, Burney dan akhirnya sebutan Borneo merujuk kepada negara Brunei sendiri kerana pada satu ketika seluruh Kepulauan Borneo di kuasai oleh Brunei.

No comments:

Post a Comment